Haiwan peliharaan merupakan haiwan yang telah dijinakkan untuk dijadikan sebagai hiburan atau peneman manusia selain dalam kalangan manusia itu sendiri. Malahan, dikatakan bahawa orang yang mempunyai haiwan peliharaan akan mempunyai lebih kuat perasaan simpati dan tanggungjawab.
Ya, haiwan peliharaan boleh menghiburkan kita dengan kecomelan mereka. Bentuk muka yang cute dan ada haiwan yang seolah-olah mempunyai perangi comel mereka yang tersendiri pasti membuatkan kita mudah terhibur.
Namun begitu, pemilik haiwan peliharaan juga perlu tahu bahawa haiwan peliharaan mereka yang comel itu juga akan menghasilkan kotoran. Kotoran yang dihasilkan oleh haiwan peliharaan perlulah diuruskan dengan baik agar ianya tidak mengganggu keselesaan manusia dan haiwan itu sendiri.
Sehubungan dengan itu, kami ingin berkongsi beberapa tips untuk membersihkan kotoran dan bauan yang dihasilkan oleh haiwan peliharaan kita semua.
Sesetengah haiwan seperti kucing atau anjing suka untuk keluar berjalan di luar rumah. Adakalanya, kita akan dapat melihat beberapa tompok kesan tapak kaki haiwan tersebut yang mungkin telah terpijak lopak air semasa bermain di luar rumah. Sekiranya perkara tersebut berlaku, kita mesti memastikan bahawa kuman yang terdapat diluar rumah tersebut dihapuskan, lebih-lebih lagi sekiranya terdapat anak kecil bermain di lantai rumah. Untuk itu, kita digalakkan untuk mencuci kotoran bekas tapak kaki tersebut dengan menggunakan sabun atau lebih baik, air yang telah dicampur dengan anti-septik seperti Dettol untuk menghapuskan kuman.
Adakah kucing anda kencing atau mengotorkan di atas karpet kesayangan anda? Oh tidak!! Jangan risau, anda boleh cuba tips ini. Setelah anda cuci karpet tersebut, letakkan sedikit serbuk penaik (Baking Soda) dan cuka di kawasan yang telah dikotori tersebut. 2 bahan ini mampu untuk menghilangkan bau dan visual yang kurang enak itu. Cara-caranya adalah:
- Tuangkan cuka keatas kawasan tersebut dan biarkan seketika.
- Taburkan serbuk Baking Soda ke atas kawasan kotor tersebut dan gosokkan sedikit agar bercampur dengan larutan cuka tadi.
- Biarkan campuran tersebut untuk beberapa jam. Anda boleh tutupkan kawasan tersebut dengan bekas lain untuk mengelakkan anda terlupa bahawa terdapat kotoran di situ.
- Setelah kering, anda boleh sapu atau vakum serbuk tadi dan buangkannya.
- Karpet anda telah bersih.
Ada banyak lagi cara yang boleh anda gunakan untuk membersihkan kotoran daripada haiwan peliharaan. Namun, kami ingin mengingatkan anda untuk bersihkanlah kotoran haiwan dengan lebih berhati-hati kerana terdapat lebih banyak kuman bawaan haiwan yang boleh terdedah kepada manusia terutamanya bayi dan kanak-kanak.
Oleh itu, sentiasa, gunakan pembersih atau bahan pencuci yang mampu menghapuskan kuman.
Selamat mencuba!