Guna Dua Bahan Ini, Lipas Terus Lenyap Daripada Kereta Anda

Keadaan kereta yang terdapat banyak lipas menghuni didalamnya bukanlah suatu keadaan yang menyenangkan. Ia bukan sahaja membuatkan kereta terasa kotor bahkan mungkin akan mengurangkan keyakinan pemilik kereta lebih-lebih lagi setiap kali hendak mempelawa teman untuk tumpang bersama. Dikhuatiri akan tidak disenangi oleh orang yang kita tumpangkan. Mungkin juga boleh mendatangkan penyakit disebabkan sifat lipas yang kotor.

Kebiasaannya keadaan ini bukanlah sesuatu yang diundang atau disengajakan untuk berlaku, ada keadaan yang mana apabila kita meletak kenderaan di kawasan berdekatan tempat pembuangan sampah, maka ini akan mengundang lipas untuk berpindah ke dalam kereta anda. Namun, jika keadaan perumahan atau pejabat tempat anda bekerja memiliki ruang meletak kenderaan yang terhad, maka pasti anda tiada pilihan selain meletakkan kenderaan dikawasan yang mungkin berdekatan dengan tempat pembuangan sampah.

Tambahan pula, jika anda ada tabiat sukakan cemil-cemilan sambil memandu, sisa makanan yang terjatuh akan menggalakkan lagi lipas untuk terus kekal dalam kereta anda atas sebab ada sumber makanan untuk mereka.

Ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk membanteras lipas-lipas yang ada dalam kereta anda dengan berkesan. Ada cara yang memerlukan kos yang tinggi, ada juga cara yang memerlukan kos yang sangat murah dan mudah didapati. Jika anda sudah mencuba macam-macam cara tetapi tidak menjadi, jom cuba cara ini pula. Setakat ini, cara ini sangat berkesan dan menjimatkan.

Cuma dua bahan sahaja yang diperlukan dan anda sudah bersedia ke medan perang bersama lipas. Bahan-bahannya seperti berikut:

  1. Mentega (Saya biasa gunakan marjerin; setakat ini menjadi)
  2. Minyak terpakai (sebaiknya sisa minyak yang digunakan untuk menggoreng ikan atau ayam)

Cara-caranya adalah seperti berikut:

  1. Masukkan minyak kedalam bekas anggaran setengah cm atau satu cm daripada dasar bekas.
  2. Letakkan sesudu mentega ditengah-tengah (mentega ibarat seperti pulau)
  3. Letakkan bekas ini dibahagian depan dan belakang dalam kereta
  4. Tinggalkan semalaman dan lihat hasilnya

Secara teorinya, lipas akan tertarik dengan bau minyak terpakai dan mentega. Mereka akan cuba mendapatkan mentega ditengah-tengah bekas tersebut. Apabila lipas masuk saja kedalam bekas untuk mendapatkan mentega, mereka akan terjatuh kedalam minyak dan menyukarkan pergerakan lalu mati akibat lemas dalam minyak tersebut.

Cara ini sangat mudah dan jimat. Kalau anda kerap lakukan, mungkin semua lipas yang ada dalam kereta anda akan lenyap. Saya sudah buat dan terbukti menjadi. Jadi apa tunggu lagi? Cubalah!

Stay tuned with us for more cleaning tips and interesting articles.  

No maids? No problem. Find the best cleaning service in Kajang here!